APLIKASI WEB 2.0 DALAM PENGAJARAN DAN ... - pibaukm

112 downloads 95 Views 81KB Size Report
Web 2.0 merupakan satu inovasi perisian serta aplikasi Internet dari web berbentuk statik ... Ia memperkasakan pendidik dan pelajar dengan teknologi untuk.
APLIKASI WEB 2.0 DALAM PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN Oleh : Nurhanisah Mohamad (A123646) Web 2.0 merupakan satu inovasi perisian serta aplikasi Internet dari web berbentuk statik kepada web yang lebih dinamik serta fleksibel. Kandungan yang dipersembahkan lebih interaktif dan pelbagai serta menekankan konsep komunikasi web secara dua hala. Web 2.0 diperkenalkan dalam O‟ Reilly Media Web 2.0 Conference pada tahun 2004. Flickr merupakan salah satu daripada alat Web 2.0 yang popular. Flickr ialah satu laman web perkongsian gambar yang boleh digunakan untuk memuat naik gambar, memberikan tag kepada gambar, melihat gambar orang lain, serta menulis komen dan anotasi pada gambar tersebut. Pengguna boleh membina set gambar untuk menyusunnya dengan mudah dan juga menyertai kumpulan topik perbincangan bagi memupuk kesedaran berkomuniti. Flickr juga menyediakan pelbagai tetapan privasi yang memberi pengguna kawalan terhadap cara penggunaan yang diingini untuk gambar-gambar mereka. Flickr memberikan peluang kepada pelajar bidang fotografi dan subjek seni yang lain. Blog ialah satu laman web untuk membuat catatan secara berterusan. Perkara baharu dipaparkan pada bahagian paling atas agar pelawat boleh membaca catatan terkini. Kemudian mereka boleh memberi komen terhadap entri tersebut, membuat pautan kepadanya atau menghantar e-mel kepada penulis. Dalam bidang pendidikan, blog digunakan bagi memenuhi pelbagai bentuk keperluan komunikasi untuk membantu amalan e-pembelajaran. WordPress pula ialah satu alat penerbitan percuma dalam talian. Ia merupakan satu perisian berasaskan web yang membolehkan sesiapa sahaja membina serta menyelenggarakan atau menyunting laman web atau blog. Pada asalnya, tujuan Wordpress adalah sebagai satu cara mudah untuk membina blog. Diigo merupakan suatu alat penandaan sosial yang membantu pengguna membaca, berkongsi dan menyusun laman web yang dikunjungi. Ia juga memenuhi dua tujuan iaitu bertindak sebagai alat penandaan dan alat perangkaian sosial. Diigo boleh digunakan seperti mencatat nota peribadi, menyerlahkan maklumat teks pada laman web, menanda dan menyimpan catatan tersebut, menambah tag untuk menjadikannya tersusun dan berkongsi maklumat dengan rakan-rakan apabila menggunakan tag. Elluminate menyediakan penyelesaian web, audio, video dan rangkaian sosial yang optimum untuk pendidikan. Elluminate juga boleh digunakan bersama dengan panggilan persidangan melalui telefon atau fungsi suara melalui IP (Voice over IP) sekiranya ada. Jika menggunakan VoIP, set fon kepala perlu digunakan. Evernote ialah satu alat Web 2.0 yang membolehkan mereka merakam gambar hampir semua perkara yang ingin diingati. Gambar boleh disimpan ke dalam Evernote, disusun dan diberi penerangan ringkas untuk menjadikan gambar tersebut mudah diperoleh pada masa akan datang. Penggunaan aplikasi ini membolehkan pengguna menambah teks, maklumat, gambar, video, dan pautan sebagaimana yang boleh dilakukan dengan aplikasi web yang lain.

Glog ialah suatu platform visual interaktif yang membolehkan pengguna membuat “poster atau laman web” yang mempunyai elemen-elemen multimedia seperti teks, audio, video, imej, grafik, lukisan dan data. Glogster EDU merupakan platform pendidikan global yang utama untuk mengungkapkan pengetahuan dan kemahiran secara kreatif di dalam dan di luar kelas. Ia memperkasakan pendidik dan pelajar dengan teknologi untuk membina GLOG – poster multimedia dalam talian menggunakan teks, gambar, video, grafik, audio, lukisan dan lampiran data dan sebagainya. Jing ialah aplikasi merentas platform yang boleh dimuat turun dari laman web www.jingproject.com. Pengguna boleh mengambil gambar skrin pengguna yang tidak bergerak (yang dipanggil syot layar) dan juga merakam video pendek yang tidak melebihi 5 minit tentang aktiviti pada skrin pengguna (yang dipanggil rakaman skrin atau screencast) dengan Jing. Penggunaan Jing dalam pendidikan seperti merakamkan video latihan yang boleh dicapai dengan cepat dan mudah oleh pelajar, sebagai satu cara ulang kaji, minta pelajar merakamkan aktiviti penyelesaian masalah matematik mereka dan kemudian menyiarkannya dalam blog kelas, minta pelajar merakamkan pembentangan mereka, minta pelajar merakamkan aktiviti kajian dan pembentangan dapatan kajian mereka dan galakkan pelajar menjadi pengguna menjadi kreatif. Prezi berfungsi sama seperti Power Point, tetapi mempunyai ciri-ciri yang lebih canggih dan menarik. Persembahan melalui Prezi dibina pada „kanvas‟ dan bukannya slaid. Ini memudahkan penyampai untuk memberi tumpuan terhadap penggabungan teks, imej dan multimedia. Item-item di atas kanvas boleh diheret, disengetkan dan dizum agar kelihatan lebih menarik. Satu „jalan cerita persembahan‟ boleh dibuat antara elemen yang berbeza pada pentas untuk membina animasi. Skype ialah satu perisian komputer yang inovatif dan membolehkan pengguna untuk membuat panggilan percuma secara dalam talian kepada pengguna Skype lain di seluruh dunia. Perisian ini boleh didapatkan secara percuma dari laman web Skype dan boleh digunakan dengan hampir semua sistem pengendalian dan komputer. Skype mudah digunakan kerana komunikasi menjadi lebih mesra pengguna dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, hiburan, pengangkutan dan perniagaan. SlideShare ialah satu laman web media untuk berkongsi persembahan, dokumen, dan fail pdf. SlideShare menonjolkan komuniti profesional yang aktif dan sering memberi komen, menggemari dan memuat turun bahan. Kandungan SlideShare juga tersebar dengan pantas melalui blog dan rangkaian sosial seperti LinkedIn, Facebook dan Twitter. Individu dan organisasi akan memuat naik dokumen ke laman SlideShare untuk berkongsi idea, berhubung dengan orang lain, dan mencari bakal pelanggan untuk perniagaan mereka. Sesiapa sahaja boleh melihat persembahan dan dokumen tentang tajuk yang diminati. VoiceThread ialah aplikasi berasaskan Internet yang membolehkan pengguna membina persembahan album media yang boleh dikongsi dan dikomen oleh pengunjung secara tak segerak dalam bentuk teks, suara atau video. Persembahan tersebut boleh merangkumi sebarang bentuk media digital termasuk imej, audio, video dan teks. Hasil

daripada kombinasi persembahan digital dan komen penonton yang terkumpul ini dikenali sebagai “VoiceThread”. VoiceThread yang lengkap kemudiannya boleh dipaparkan pada laman web VoiceThread atau dimasukkan ke laman Web lain atau blog. Wallwisher ialah aplikasi Internet yang membolehkan pelajar menyiarkan pendapat mereka mengenai suatu topik umum dengan nota lekat elektronik pada dinding digital yang dikongsi bersama. Pelajar boleh menaip maksimum 160 huruf bagi setiap nota lekat elektronik yang boleh menggabungkan imej, audio atau video menggunakan pautan alamat web yang sesuai. Wallwisher juga boleh digunakan untuk mencatat nota peribadi, senarai perkara yang perlu dilakukan, koleksi maklum balas, dan sebagainya. YouTube ialah laman perkongsian video yang popular untuk memuat naik, menonton dan berkongsi petikan video. YouTube kini menjadi satu bentuk media baharu Web 2.0 yang popular. Kandungan dan rakaman video YouTube boleh merangkumi animasi, rakaman acara awam, rakaman peribadi rakan-rakan informasi, hiburan dan sebagainya. YouTube membolehkan pengguna menyiarkan dan memberikan tag kepada video, menonton video yang disiarkan oleh orang lain, menyiarkan komen dalam bentuk perbincangan berangkai, mencari kandungan melalui kata kunci atau kategori, serta membina dan menyertai kumpulan semasa. Wordle ialah satu alat yang melihat teks yang diberikan (pelajar boleh menaip perkataan yang menerangkan tentang diri mereka, perkara yang ingin dipelajari, perkara yang pernah dipelajari; perbendaharaan kata yang sukar bagi mereka; perkataan yang menerangkan tentang negara yang sedang dipelajari) dan kemudian membina satu ringkasan “awan perkataan” daripada perkataan tersebut. Awan perkataan menonjolkan perkataan yang sering digunakan dalam teks asal. Pengguna boleh menukar fon, susun atur dan warna yang digunakan. Setelah “awan perkataan” dibina, pelajar boleh merakam syot layar untuk disimpan dan ditampalkan pada suatu aplikasi, atau disimpan dalam Paint/Photoshop dalam format imej jpg untuk digunakan dalam sesuatu projek. Mereka juga boleh mencetaknya dan membina papan buletin dalam kelas daripada perkataan tersebut. Sebagai kesimpulan, kehadiran aplikasi Web 2.0 ini dilihat sebagai revolusi untuk menyebarkan maklumat secara meluas khususnya dalam bidang pendidikan. Teknologi Web 2.0 menyediakan guru-guru satu kaedah baru untuk mendekati pelajar-pelajarnya dengan cara yang bermakna. Oleh itu, penggunaan laman-laman web bercirikan web 2.0 dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah harus dikaji dengan lebih mendalam memandangkan penggunaannya dalam bidang pendidikan masih di peringkat rendah di negara ini. Rujukan Mohamed Amin Embi. 2011. Aplikasi Web 2.0 Dalam Pengajaran dan Pembelajaran. Selangor: Pusat Perkembangan Akademik, Ukm.