menjaga kebersihan satu kewajipan - Jabatan Hal Ehwal Agama ...

35 downloads 1637 Views 104KB Size Report
17 Feb 2012 ... Kebersihan adalah antara perkara utama dalam Syariat Islam. ... malahan boleh menghancurkan kehidupan kita, ahli keluarga dan generasi ...
Khutbah Jumaat 24 Rabiulawal 1433H (17 Februari 2012M)

MENJAGA KEBERSIHAN SATU KEWAJIPAN Oleh: JHEAINS

MUSLIMIN JEMAAH JUMAAT RAHIMAKUMULLAH, Bertaqwalah kepada Allah SWT, ketahuilah sesungguhnya sifat taqwa itu tidak boleh dilakun-lakunkan. Orang yang bertaqwalah mereka yang sentiasa melakukan dan melaksanakan perintah Allah SWT tanpa dipaksa-paksakan. Begitu juga orang yang bertaqwa sentiasa mempastikan tidak akan melakukan apa jua yang dilarang oleh Allah SWT. Sebab itu darjat dan kedudukan golongan yang bertaqwa itu di sisi Allah SWT teramat tinggi. Dengan itu, berusahalah untuk menjadi hamba-Nya yang bertaqwa, yakni bertaqwa dengan sebenar-benarnya, yakinlah bahawa orang yang bertaqwa itu pasti akan mendapat jaminan kesenangan, kemudahan, kejayaan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA, Kebersihan adalah antara perkara utama dalam Syariat Islam. Firman Allah SWT dalam Al Quran:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri”. (Surah Al-Baqarah, ayat 222) Dalam kitab Fiqah Islam bab pertama yang dibahaskan ialah bab bersuci. Bersuci juga merujuk penjagaan kebersihan diri, tempat, pakaian, bangunan seperti masjid, surau, rumah, sekolah, termasuklah hal-hal kebersihan makanan, minuman, bahan gunaan seharian seperti ubat-ubatan, kosmetik dan sebagainya. Khatib pada hari ini ingin mengajak para jemaah sekalian untuk bersama mengamat-amati perkara pentingnya menjaga kebersihan ini, antaranya:

1

Pertama: Menjaga kebersihan diri Dalam Islam telah disyariatkan perintah menjaga kebersihan dan menganjurkan supaya umatnya sentiasa menjaga kebersihan rohani dan jasmani, yang juga bermaksud supaya umat Islam sentiasa bersih, harum wangi, kemas dan ceria dalam kehidupan sehari-harian. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: 'Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya”. Sabdanya lagi yang bermaksud: 'Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak”. (HR At- Thabrani) Sabda Rasulullah SAW lagi kepada Abu Hurairah RA, yang bermaksud: “Wahai Abu Hurairah! Potonglah kuku-kukumu, kerana sesungguhnya syaitan itu mengikat kuku-kuku yang panjang”. (HR Ahmad). Maksud mengikat dalam Hadith ini, ialah bahawa syaitan akan mengikat dengan sihir, rayuan dan godaan orang yang kukunya panjang. Manakala Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah menyatakan bahawa: Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani. Berdasarkan penjelasan daripada maksud Hadith Rasulullah SAW dan huraian Ibnu Taymiyyah ini, menerangkan bahawa menjaga kebersihan diri dari segi rohani dan jasmani adalah satu kewajipan bagi setiap umat Islam yang akil baligh. JEMAAH JUMAAT YANG BERIMAN, Kedua: Menjaga kebersihan Masjid Kerbersihan masjid kita amat mendukacitakan. Kenapa umat Islam tidak merasa penting menjaga kebersihan masjid. Pada hal setiap hari kita berkunjung ke masjid untuk mengerjakan Solat lima waktu dan solat berjemaah. Dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran”. (HR Muslim) Masjid adalah tempat ibadah, institusi ilmu, institusi sosial dan pusat perpaduan umat Islam. Masjid juga merupakan jantung hati umat Islam. Oleh yang demikian, penjagaan kebersihannya luar dan dalam hendaklah sentiasa terurus dan dijaga dengan sebaik-baiknya. Masjid juga menjadi lambang syiar keindahan, kekuatan dan perpaduan umat Islam. Ketiga: Menjaga kebersihan premis/bangunan dan halaman. Sikap membuang sampah sarap sekalipun kecil seperti pontong rokok, kulit gula-gula, kotak-kotak makanan ringan, tin minuman dan lain-lain melalui tingkap rumah, kereta dan kenderaan awam akan mengakibatkan persekitaran kita kotor. Maka dalam sebuah Hadith Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya”.(HR At-Thabrani). Oleh itu, janganlah dijadikan halaman masjid, rumah, sekolah dan jalan-jalan raya sebagai tempat membuang sampah sarap.

2

Ingatlah, tanda kebersihan seseorang itu dapat dilihat pada diri dan pakaiannya, juga boleh dilihat dari keadaan persekitaran kediaman tempat tinggalnya. Sebuah kediaman yang bahagia ialah yang sentiasa dijaga keindahan dan kebersihannya yang kelihatan indah mendamaikan dan menarik dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuninya. Sesungguhnya amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Bahkan akan diganjari pahala di sisi Allah SWT. Berkaitan dengan penjaga kebersihan persekitaran ini, perlu juga diperingatkan bahawa amalan membuang sampah sarap merata-rata dikalangan masyarakat hari ini adalah punca utama kenapa persekitaran yang bersih menjadi kotor dan penuh dengan sampah sarap. Oleh itu, bersama-samalah kita sebagai umat Islam untuk mengajak dan menjadi contoh teladan yang terbaik dalam membudayakan penjagaan kebersihan diri, premis, seperti masjid, surau, sekolah, rumah pejabat, restoran dan lain-lain. Ketahuilah, bahawa kesan akibat daripada pembuangan sampah sarap secara tidak bertanggungjawab dan tidak diurus dengan baik ditapak pelupusan bahan buangan sampah sarap akan menghasilkan air larut resap yang mencemarkan sumber air. Sisa yang di buang secara haram dipersekitaran kita akan mengotorkan punca air dan menyumbat longkang-longkang, mengotorkan sungai-sungai dan pantai-pantai yang menyebabkan akan berlaku banjir kilat dan mengundang pelbagai lagi jenis penyakit. Begitu juga isu pengurusan sisa pepejal, jika tidak dibuang dengan lebih teratur ia pasti akan merosakan persekitaran, malahan boleh menghancurkan kehidupan kita, ahli keluarga dan generasi umat Islam akan datang. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” (Surah Ar-Rum, ayat 41) Keempat: Menjaga kebersihan makanan dan minuman Menjaga kebersihan makanan dan minuman juga amat diutamakan dalam Islam. Sebab makanan dan minuman yang bersih, halal dan baik itu memberikan kesan kesihatan kepada jasmani. Manakala badan yang sihat akan memudahkan kita melakukan kerja, amal ibadat, dan sebagainya. Firman Allah SWT di dalam Al Quran:

                  Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu”. (Surah Al Baqarah, ayat: 168) Sebagai ibubapa jagalah dan sediakanlah makan minum dan gunalah peralatan untuk anak-anak dan ahli keluarga kita dengan mengutamakan kebersihan, kesucian, kualiti dan kebaikannya. Kepada para peniaga juga hendaklah menjaga kebersihan, kualiti makanan, minuman, kebersihan premis, peralatan dan sebagainya. Percayalah kita akan dapat gandaan dan ganjaran kebaikan, keuntungan, keberkatan dan pahala di sisi Allah SWT.

3

JEMAAH JUMAAT YANG BERBAHAGIA, Ketahuilah, bahawa tanpa mengamalkan kebersihan diri, tempat, pakaian, premis/bangunan dan sebagainya itu, tentu akan mudahlah tersebar atau merebaknya pelbagai penyakit seperti kolera, cirit birit, denggi, keracunan makanan, penyakit kulit dan sebagainya. Selain itu, ia juga akan menjadi punca kepada alam sekitar yang tidak sihat. Marilah kita bersama-sama menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha menjadikan alam sekitar kita berada dalam keadaan bersih sepanjang masa. Demi mengekalkan keindahan alam semula jadi negeri kita untuk kebaikan dan manfaat kita, anak isteri, ahli keluarga, masyarakat dan seterusnya menarik minat orang ramai dan juga para pelancong untuk memanfaatkan alam yang indah dan damai di negeri kita. JEMAAH JUMAAT YANG DIMULIAKAN, Kebersihan juga ada kaitannya dengan keimanan. Sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. (HR Muslim) Demikianlah, pentingnya kebersihan dalam kehidupan seharian kita. Kebersihan rohani dan jasmani. Kebersihan pakaian, tempat, premis seperti masjid, rumah, kedai, pejabat, sekolah dan sebagainya. Apatah lagi kebersihan itu juga merupakan tanda keimanan. Umat yang beriman, peribadi yang beriman dan keluarga yang beriman pasti tidak sekali-kali akan mengabaikan kebersihan diri, rohani, jasmani, masjid, rumah, kedai, makanan minuman dan halaman persekitarannya. Mudah-mudahan hidup kita, anak isteri, ahli keluarga, jemaah dan masyarakat kita akan lebih sihat, segar, ceria dan bahagia dengan menjaga serta membudayakan kebersihan bermula dari rumah, insya Allah.

Disediakan oleh: Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

4