pengajaran efektif dan kerangka untuk pengajaran - Faculty of ...

105 downloads 96 Views 245KB Size Report
pelajar dalam pembelajaran serta mempengaruhi mereka dalam kehidupan masa ... Seseorang guru yang efektif dalam pengajaran akan sentiasa 'belajar.
PENGAJARAN EFEKTIF DAN KERANGKA UNTUK PENGAJARAN Chia Lai Lai ([email protected]) Abdul Rahim Hamdan ([email protected]) Fakulti Pendidikan ,Universiti Teknologi Malaysia 81310 Skudai, Johor Bahru Abstrak: Pengajaran adalah satu tugas yang nampaknya senang tetapi adalah kompleks . Pengajaran juga merupakan satu perjuangan yang perlu banyak usaha dicurahkan dan penting bagi seseorang yang bergelar pendidik. Oleh itu, mengajar dengan efektif dapat membantu para pelajar dalam pembelajaran serta mempengaruhi mereka dalam kehidupan masa hadapan. Walau bagaimanapun, pengajaran efektif guru pada masa kini penuh dengan pelbagai cabaran serta beban kerja yang semakin melambak. Ini telah mengakibatkan pengajaran guru mungkin semakin ke arah untuk menghabiskan silibus sahaja tanpa mengambilkira keberkesanan pengajarannya lagi. Justeru, kertas kerja konsep ini akan membincangkan model Kerangka Untuk Pengajaran yang disarankan oleh Danielson (2007) untuk dijadikan sebagai satu ‘road map’ yang dapat dimanfaatkan oleh para guru baru, guru berpengalaman mahupun guru veteran dalam perancangan serta pelaksanaan pengajaran efektif mereka . Kata kunci: Pengajaran efektif, Kerangka Pengajaran

1.0 PENGENALAN Dalam dunia pendidikan, guru merupakan pasukan peneroka atau peneraju yang amat penting peranannya. Guru sentiasa berusaha di dalam medan yang dinamakan sekolah mahupun di luar sempadan sekolah untuk membentuk, menggilap dan menghasilkan rakyat berpotensi yang berguna serta mampu menyumbangkan tenaga kepada negara pada masa kelak. Selain itu, tiada satu formula tetap yang boleh dihafal oleh guru dalam mengajar setiap kelas yang dimasuki. Maka, praktis pengajaran efektif bukan satu proses yang dapat dilaung-laungkan dengan suara yang tinggi sahaja. Malahan, ia merupakan satu perjuangan yang bukan setakat dapat menyampaikan ilmu, kemahiran dan nilai pada pelajar, ia juga dapat menyentuh hati dan jiwa dalam hidup seseorang pelajar. Pengajaran dikatakan sebagai satu tugas yang nampaknya senang tetapi sebenarnya adalah kompleks. Seseorang guru mampu mengubah nasib dan masa depan seseorang pelajar. Pengajaran yang efektif membawa maksud yang amat bermakna dalam hidup seseorang guru dan juga dunia pendidikan. Kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa guru yang efektif dalam pengajaran mempunyai pengaruh pada kejayaan dan pencapaian pelajar (Marzano, Pickering & Pollock, 2001). Dalam pengajaran, guru bukan setakat mengetahui sesuatu ilmu sahaja, namun mereka perlu mengaplikasikan atau mempraktiskannya dalam kelas yang diajar. Ini dikatakan sebagai ‘knowing in action’ (Fetherston, 2007). Seseorang guru perlu belajar secara berterusan untuk memperkasa dan menyempurnakan lagi seni pengajaran (craft) yang kompleks ini. Seseorang guru yang efektif dalam pengajaran akan sentiasa ‘belajar untuk mengajar’ demi mempertingkatkan lagi seni pengajaran kita. Semangat ini harus sentiasa ada dalam sanubari setiap guru untuk melonjakkan lagi pengajaran mereka ke tahap potensi yang mampu dicapai dalam pengajaran mereka.

2.0 GURU DAN PENGAJARAN EFEKTIF Perguruan merupakan satu profesion yang sangat mulia kerana guru dapat mengubah hidup seseorang pelajar. Guru mempunyai tanggungjawab dan beban berat yang dipertaruhkan untuk dilaksanakannya . Walaupun guru pada masa kini terbeban dengan tugas yang semakin mencabar, namun para guru disamping memperoleh kerjasama dan bantuan daripada pihak pentadbir serta rakan-rakan sekerja profesional yang lain, guru tetap harus sentiasa merefleksi pengajaran diri mereka untuk melangkah ke depan lagi kerana pengajaran guru amat berpengaruh dalam membentuk seseorang pelajar. Ini disokong oleh Marzano(2003) yang menyatakan bahawa faktor yang paling mempengaruhi pencapaian pelajar ialah guru. Golongan guru dapat mencipta sesuatu yang berbeza dalam hidup pelajar melalui pengajaran mereka. “Effective teachers appear to be effective with students of all achievement levels regardless of the level of heterogeneity in their classes.If the teacher is ineffective, students under that teacher’s tutelage will achieve inadequate progress academically, regardless of how similar or different they are regarding their academic achievement” (Marzano, 2003a, ms 72). Kajian telah menunjukkan bahawa kualiti guru memberi sumbangan yang paling tinggi dalam kejayaan seseorang pelajar (Don Hooper,2002,ms.42). Ini selaras dengan dapatan kajian Linda Darling Hammond(2000) yang menyatakan bahawa apa yang pelajar dapat bukan bergantung pada sekolah mereka hadiri , tetapi adalah bergantung pada guru yang ada dalam sekolah tersebut. Ini telah sekali lagi jelas menunjukkan bahawa guru yang efektif mempunyai pengaruh yang begitu tinggi dalam pembelajaran dan pengajaran. Selain itu, guru juga mesti mampu mendefinisikan pengetahuan serta dapat menggabungkan pengetahuan tersebut dalam praktis rutin harian mereka (Danielson,2007). Guru mesti berkompetensi untuk mengetahui serta menjalankan pengajaran mereka. Ini disebabkan satu perancangan yang baik memerlukan orang untuk melaksanakannya, iaitu guru dalam konteks pendidikan. Dalam reformasi kurikulum , guru yang akan melaksanakan proses tersebut ; dalam pembekalan program pembangunan profesional untuk meningkatkan pengajaran, para guru juga yang akan memperkembangkannya; walaupun kita dapat fokus dalam analisis data pencapaian pelajar tetapi sebenarnya para guru yang menghasilkan keputusan yang kita analisiskan tersebut. Maka, guru berperanan penting dalam pelaksanaan pengajaran. Pengajaran efektif guru penting dalam penghasilan pencapaian tinggi pelajar. Lebih-lebih lagi dalam pembentukan modal insan dan ke arah mencorakkan pendidikan yang bertambah kualitinya dalam era globalisasi abad ke -21 ini. 3.0 CABARAN GURU DALAM PENGAJARAN EFEKTIF Kehidupan mengajar guru merupakan satu perjuangan yang amat bermakna serta penuh dengan pelbagai cabaran di sepanjang perjalanan. Sebagai guru, mereka memang berhasrat

tinggi dapat menyumbangkan ilmu dan kemahiran mereka untuk mengajar pelajar dengan efektif. Namun, terdapat juga keadaan yang guru tidak dapat merancang atau menyediakan pengajaran dengan efektif kerana trpaksa mengajar matapelajaran yang bukan major atau opsyen utama. Keadaan ini amat merugikan guru dan juga sekolah, lebih-lebih lagi pelajar. Ini adalah disebabkan seseorang guru tidak dapat melaksanakan pengajaran mahupun mengaitkan isi kandungan yang ingin disampaikannya dengan efektif jika dia sendiri pun tidak memahami ilmu yang ingin disampaikannya (Danielson, 2007). Maka, begitu pentingnya penguasaan ilmu kandungan dan ilmu kandungan pedagogi seseorang guru dalam pendidikan. Menurut Shulman (1987), untuk menjalankan pengajaran yang efektif terdapat tiga ilmu profesional yang mesti dikuasai oleh seseorang guru , iaitu ilmu kandungan, ilmu kandungan pedagogi dan ilmu terhadap pelajar. Di samping itu, persekitaran kelas juga merupakan salah satu aspek yang amat dipentingkan dalam pengajaran efektif. Namun, sejak kebelakangan ini isu-isu mengenai pergaduhan antara pelajar mahupun guru –pelajar kerap berlaku dalam kelas (Sin Chew Jit Poh, 15 Januari 2012). Persoalannya ialah bagaimanakah kelas yang dijadikan tempat guru mengajar dan pelajar belajar atau menuntut ilmu telah mula dijadikan tempat berlakunya masalah disiplin? Di mana hubungan hormat-menghormati dan atmosfera budaya belajar yang sepatutnya ada dalam sesebuah bilik darjah? Adakah keadaan ini akan bertambah baik jika pengajaran efektif dapat diadakan dalam bilik darjah tersebut? Seterusnya, kes pelajar ponteng kelas mahupun ponteng sekolah turut meningkat secara tidak langsung dan akhirnya akan menyebabkan pelajar tercicir dari persekolahan. Ini merupakan insiden yang paling tidak diingini kelihatan dalam kelas yang diajar oleh guru yang efektif mengajar kerana golongan guru ini percaya semua pelajar boleh belajar dan layak mendapat guru efektif untuk mengajar mereka. Dari aspek pengajaran pula, komunikasi antara guru dan pelajar merupakan indikator perantaraan yang penting dalam penyampaian mesej dengan tepat dan teratur. Walaupun semua guru telah diberikan latihan perguruan yang profesional , namun masih terdapat juga guru yang tidak dapat menyampaikan pengajaran dengan efektif tidak kira guru yang baru mula mengajar mahupun guru yang telah berpengalaman. Teknik menyoal serta pengubahsuaian kandungan matapelajaran yang mengajar masih perlu diperbaiki lagi. Walaupun bidang perguruan merupakan bidang yang profesional, namun masih lagi terdapat pendidik yang kurang terdedah kepada tanggungjawab profesional guru yang melibatkan komuniti, misalnya komunikasi dengan keluarga pelajar. Dengan itu, untuk mengetahui secara lebih mendalam mengenai pengajaran efektif, kita mesti cuba buka kotak hitam (black box) tersebut dan menjenguk ke dalam, untuk mengetahui apa sebenanya yang berlaku dalam pengajaran guru di bilik darjah. Ini menunjukkan praktis sebenar seseorang guru di dalam kelas amat mustahak . Para guru mesti mengetahui apa yang sebenarnya berlaku dalam kelas, bagaimana dengan proses pengajaran serta apa yang harus lakukan untuk memantapkan mahupun mencemerlangkan lagi pengajaran mereka. Justeru, boleh dikatakan proses merancang, menyedia dan mengurus telah bertindak sebagai

landasan dengan membekalkan peluang kepada para guru untuk menunjukcara lebih banyak aktiviti yang bercorak ‘hands on’ atau praktikal yang amat dititiberatkan dalam pendidikan masa kini. Jenis aktiviti ini amat penting kerana ia akan menggalakkan pemikiran kritikal dan konstruktif di kalangan pelajar. Justeru itu, amalan perancangan dan persediaan ini akan mencerminkan praktis guru ke arah pengajaran yang lebih berkualiti ( Hollins, 2011). Pengajaran yang efektif memerlukan guru untuk mengelolakannya. Fullan dan Hargreaves (1992) menyatakan bahawa transformasi pendidikan yang berjaya bergantung pada apa yang guru praktiskan untuk membuat perubahan sama ada dalam bentuk yang ringkas mahupun yang kompleks. Lebih-lebih lagi untuk Malaysia yang berusaha gigih menuju ke arah transformasi pendidikan negara dan berhasrat menghasilkan modal insan yang konstruktif dalam pembangunan negara. Dalam peningkatan praktis pengajaran efektif , kerangka untuk pengajaran (Danielson 2007) diharapkan dapat berperanan sebagai satu ‘road map’ yang jelas untuk membantu para guru dalam dunia pendidikan. 4.0 MODEL KERANGKA UNTUK PENGAJARAN ( Model Framework For Teaching) Model kerangka untuk pengajaran merupakan satu ‘road map’ yang dapat memenuhi kehendak guru baru mengajar mahupun memperkasakan lagi pengajaran guru veteran dalam pendidikan (Danielson, 2007). Model ini mengandungi empat domain utama dan dua puluh dua komponen dalamnya yang sesuai untuk kegunaan golongan guru yang ingin meningkatkan keefektifan dalam perancangan dan juga pelaksanaan pengajaran. Rajah 1 menunjukkan model kerangka untuk pengajaran daripada Danielson (2007).

Persekitaran bilik darjah

Perancangan dan persediaan

dardarjah Model Kerangka Untuk Pengajaran

Pengajaran

Tanggungjawab Profesional

Rajah 1: Model Kerangka Pengajaran Efektif (Danielson, 2007) Domain pertama model kerangka untuk pengajaran ialah perancangan dan persediaan yang menghuraikan bagaimana guru merekabentuk pengajaran. Menurut Danielson(2007) , perancangan dan persediaan merupakan urusan di belakang pentas yang mengorganisasikan pengajaran sesuatu kelas. Usaha ini memerlukan pengetahuan kandungan mata pelajaran yang tinggi untuk merekabentuk pengajaran yang bersesuaian untuk pelajar yang berbeza dalam pembelajaran mereka (ms.43). Oleh

itu, domain pertama ini meliputi menunjukcara ilmu kandungan pedagogi, menunjukcara ilmu yang ada pada pelajar, menentukan hasil pengajaran, menunjukcara ilmu mengenai sumber, mereka pengajaran yang koheren dan membentuk pentaksiran pelajar. Misulis (1997) telah menekankan bahawa “regardless of the teaching model and method used, effective instruction begins with careful, thorough and organized planning on the part of the teacher ” (ms. 45). Wiggins (1998) dalam bukunya Understanding by Design juga menggalakkan guru bertanyakan dirinya pada permulaan dan juga akhir matlamat pengajaran dengan soalan “what knowledge is worth understanding?” untuk meningkatkan keefektifan persediaan pengajaran. Manakala Roy Barnes dan Joseph Aguerrebere (2006) pula menyatakan bahawa pengajaran efektif meliputi bukan sahaja guru menguasai ilmu dengan mendalam, namun ia juga melibatkan setakat mana guru ‘transform’ ilmu tersebut pada para pelajar. Ini memerlukan perancangan dan persediaan yang rapi dalam pelaksanaannya Domain kedua pula ialah persekitaran bilik darjah. Domain ini meliputi membentuk suasana yang saling menghormati dan erat, mewujudkan budaya pembelajaran,mengurus prosedur kelas, mengurus gelagat kelakuan pelajar dan mengorganisasikan ruang fizikal kelas. Persekitaran bilik darjah yang kondusif dapat lebih menggalakkan pembelajaran dan pengajaran. “Teachers are authority figures and need to require students to follow certain rules and procedures. However, these are means for organizing the classroom to support teaching and learning, not ends in themselves. Classroom management should help students gain capacity for self-regulation” (Good dan Brophy, 2008). Michelle Collay(1998) dalam bukunya Learning Circles juga menjelaskan enam syarat utama yang menjadikan sebuah bilik darjah menyebabkan para pelajar rasa selesa dan kondusif untuk belajar dalam kelas tersebut. Antaranya ialah dapat mewujudkan komuniti, membina ilmu, memberi sokongan pada pelajar, mengumpul refleksi, mempunyai ekspektasi dan mampu mengubah budaya dalam kelas ( Collay,1998, ms.8). Manakala Harry and Rosemary Wong dalam buku mereka The First Days of School (1998) pula menekankan bahawa pengurusan kelas yang efektif adalah hasil daripada perancangan baik prosedur guru dalam pengajaran. Mereka percaya rutin kelas yang bermula dari hari pertama dan diulangi dengan sehingga akhir tahun persekolahan telah melatih pelajar untuk melakukannya dengan automatik. Stronge (2002) juga mencatatkan bahawa kebanyakan guru yang mempunyai prestasi tinggi dalam pengajaran mengakui bahawa mereka menekankan peraturan kelas mulai awal persekolahan untuk mewujudkan satu budaya atau persekitaran kelas yang dapat diikuti pelajar. Domain ketiga ialah aspek pengajaran yang penting dalam pembelajaran seseorang pelajar. Domain ini meliputi komponen berkomunikasi dengan pelajar, penggunaan teknik menyoal dan perbincangan, melibatkan pelajar dalam pembelajaran, menggunakan pentaksiran dalam pengajaran, menunjukkan fleksibeliti dan responsif. Guru mesti membekalkan penjelasan yang tepat kepada pelajar sebagai satu petunjuk jalan untuk mengubah sesuatu yang kompleks kepada sesuatu yang jelas dalam hidup pelajar (Danielson, 2007). Ini bermakna tanpa penyampaian yang efektif oleh guru, seseorang pelajar mungkin menemui jalan buntu dalam memajukan diri secara sosial mahupun akademik (Shukla-Mehta dan Albin, 2003). Disamping itu, kajian Sigel (1990) turut menunjukkan bahawa

pengajaran efektif memerlukan teknik menyoal yang jelas dan tepat. Kemudian, diikuti dengan masa menunggu jawapan yang bersesuaian daripada pelajar, dan menjadikan respon jawapan pelajar sebagai asas dalam pengajaran. Justeru, penglibatan aktif pelajar sebenarnya banyak bergantung pada guru yang efektif untuk melaksanakan pengajaran dengan fleksibel dengan tanpa menjejaskan progres pembelajaran pelajar. Domain keempat pula ialah mengenai tanggungjawab profesional. Domain ini terdiri daripada refleksi pengajaran, mengekalkan rekod yang tepat, berkomunikasi dengan keluarga pelajar, menyertai dalam komuniti profesional, mengembang serta membangun dengan professional, dan menunjukkan profesionalisme yang mempengaruhi pengajaran efektif guru dan pembelajaran pelajar. Misalnya, refleksi guru dapat membantu menganalisis, membincang serta menilai praktis guru dalam bilik darjah. Di samping itu, guru juga dapat membekalkan pandangan yang berlainan serta menjelaskan rasional terhadap sesuatu keputusan yang diambil (Posner, 2000). Justeru, guru mesti berupaya mendefinisikan pengetahuan dan dapat menggabungkan serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam praktis pengajaran harian mereka (Danielson, 2007). Dalam buku Mentoring Across Boundaries, Jean Boreen dan Donna Niday (2003) sekali lagi menekankan bahawa refleksi guru adalah bahagian yang kritikal dalam pengajaran efektif. Selain itu, mereka juga menghuraikan bahawa menasihati diri sendiri adalah perkara yang sangat penting bagi guru. Selain itu, komuniti profesional juga memainkan peranan penting dalam praktis pengajaran efektif. Dapatan kajian Haynie (2006) yang melibatkan guru biologi yang efektif dan kurang efektif menunjukkan bahawa guru yang efektif sentiasa merancang pengajaran mereka melalui perbincangan kolaboratif dengan rakan-rakan guru yang lain berbanding guru yang kurang efektif sentiasa merancang secara bersendirian .Ini jelas menunjukkan pengajaran efektif bukan sahaja melibatkan guru , namun juga melibatkan komunikasi guru bersama keluarga pelajar serta antara komuniti profesional perguruan demi meningkatkan profesionalisme mereka. Diharapkan model ini dapat dijadikan sebagai satu petunjuk yang dapat membawa para guru ke arah kemantapan dan kecemerlangan yang selanjutnya. Tiga kumpulan guru yang akan mendapat manfaat ketara daripada model kerangka pengajaran ini. i) Kumpulan guru yang baru mengajar , model ini dapat dijadikan satu titik tolak asalan yang jelas untuk ditujui. Ini dapat membolehkan para guru baru mendapat halatuju yang betul dan sahih untuk ditujui. ii) Kumpulan guru yang telah mengajar beberapa tahun dan dikatakan berpengalaman, model ini membolehkan kita memperkasa dan meningkatkan lagi pengajaran efektif mereka. Dengan itu, mutu kualiti pengajaran dapat sentiasa digilap dan dipertingkatkan dalam peredaran masa. iii) Kumpulan guru veteran pula, model ini membolehkan para guru merefleksi, memperkongsi serta memecutkan lagi pengajaran efektif guru dalam hidup mengajar kita sebagai guru yang efektif dan berkualiti. Pengajaran merupakan satu proses berterusan ( on-going process) bagi guru yang sentiasa berusaha mempertingkatkan kualiti pengajaran efektif dalam bidang kepakaran mereka. 5.0 KESIMPULAN Untuk menjadi seorang guru mungkin bukan satu perkara yang susah bagi pendapat segelintir orang, namun jika ingin menjadi seorang guru yang efektif dalam pengajarannya memang merupakan satu

perkara yang agak kompleks dan perlu banyak usaha dicurahkan sepanjang perjuangan kita dalam hidup mengajar . Seseorang guru perlu berada dengan dirinya sahaja dan berhadapan dengan satu kelas yang melebihi 35 orang setiap waktu (walaupun hari pertama melaporkan diri di sekolah). Setiap hari guru secara puratanya mempunyai 5 hingga 6 waktu. Justeru itu, guru kena mengajar 175 orang hingga 210 orang pelajar yang pelbagai minda dan sikapnya dalam setiap hari. Begitu kompleks dan mencabar hidup pengajaran guru. Maka, praktis pengajaran efektif adalah amat penting dan dititikberatkan dalam menempuhi perjuangan pendidikan yang belum selesai. Kepentingan seseorang guru memang tidak dapat dinafikan dalam meningkatkan prestasi pencapaian pelajar. Ini telah banyak dibuktikan melalui kajian-kajian lepas. Malahan faktor guru yang efektif merupakan indikator utama dalam menentukan kejayaan serta pencapaian tinggi pelajar( Marzano, 2001). Ia juga mempunyai pengaruh yang besar terhadap hidup dan pembelajaran seseorang pelajar pada masa kini mahupun masa depan. Oleh itu, Model Kerangka Untuk Pengajaran (Danielson, 2007) merupakan satu ‘road map’ yang amat berguna kepada para guru untuk membimbing guru mengorganisasikan rancangan demi mempertingkat lagi pencapaian pelajar ke tahap yang lebih cemerlang. Model ini juga sesuai untuk dimanfaatkan dengan tujuan yang meluas dalam dunia pendidikan , iaitu dari memenuhi keperluan guru yang baru mengajar hingga mempertingkat kemahiran guru veteran ( Danielson, 2007). Dengan itu, diharapkan pengenalan dan pengaplikasian model kerangka untuk pengajaran ini dalam kalangan guru yang berkomitmen tinggi di Malaysia dapat membantu tenaga guru ke arah praktis pengajaran efektif yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang di dunia pendidikan. RUJUKAN

Barnes, R.E., & Aguerrebere, J.A. (2006). Education Week. 26(12).

Sidetracking the debate on teacher Quality.

Boreen, J., & Niday, D. (2003). Mentoring across boundaries. Portland: Stenhouse Publishers. Collay, M. (1998). Learning circles: Creating conditions for professional development. Thousand Oaks, CA: Corwin Press. Danielson, C. (2007). Enhancing professional practice: A framework for teaching. Alexandria, VA:ASCD. Darling-Hammond, L. (2000). Teacher quality and student achievement: policy evidence. Education Policy Analysis Archives. 8(1): 1-44.

A review of state

Feetherston, T.(2007). Becoming an effective teacher.Australia: Thomson Learning Fullan .M.,& Hargreaves,A. (1992). Teacher development and educational change. New York : Routledge. Good,T.L.,& Brophy,J.E. (2008). Looking in classroom. USA: Pearson Education,Inc

Haynie(2006) Effective Biology teaching: A value-added instructional improvement analysis model. Retrieved from http://www.wcpss.net/evaluation-research. Hollins, Etta R, (2011). Teacher Preparation For Quality Teaching. Journal of Teacher Education. 62 (4): 395-407. Hooper, D.W. (2002). Improving instruction as a team. School Administrator.59(4): 42-44. Marzano, R. J., Pickering, D. J., & Pollock, J. E. (2001). Classroom instruction that works: Research-based strategies for increasing student achievement. Alexandria,VA: Association for Supervision and Curriculum Development. Marzano, R. J. (2003). What works in schools: Translating research into action. Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development. Misulis, K. (1997). Content analysis: A useful tool for instructional planning. Contemporary Education. (59(1) : 45-47. Posner, G. (2000). Field experience: Methods of reflective teaching. New York: Longman. Shulman, L. S. (1987). Knowledge and Teaching: Foundations of the new reform. Harvard Educational Review. 57(1): 1-21. Sigel, I. (1990). Psycho educational intervention: Future directions. Merrill-Palmer Quarterly. 36(1) : 159-172. Sin Chew Jit Poh, 15 Januari 2012. Stronge, J. H. (2002). Qualities of effective teachers. Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development. Shukla-Mehta, S., & Albin, R. W. (2003). Twelve practical strategies to prevent behavioral escalation in classroom settings. The Clearing House. 77(2): 50-56. Wiggins, G. (1998). Understanding by design. Alexandria, VA: Association for Supervision and Curriculum Development. Wong, H. K., & Wong, R. T. (1998). The first days of school. CA: Harry K. Wong Publications.