PENGLIBATAN WANITA DALAM PERTANIAN.pdf - UMExpert

52 downloads 186 Views 191KB Size Report
juga pekerja. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengkaji faktor penglibatan wanita di dalam ... Definisi wanita dapat ditakrifkan dalam pelbagai maksud dan  ...
PERANAN WANITA DALAM PERTANIAN: SATU KAJIAN DI KAMPUNG PULAI CHONDONG, KELANTAN *Nur H. L. & Firuza B. M. Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya 50603 Kuala Lumpur. Telefon : 603 7967 5536, Fax: 603 7967 5457 Email: [email protected] ABSTRAK Wanita adalah golongan istimewa dan memainkan peranan yang besar dalam masyarakat. Berkebolehan melaksanakan dwi-kerja seperti memikul tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan juga pekerja. Objektif utama kajian ini ialah untuk mengkaji faktor penglibatan wanita di dalam sektor pertanian dan mengkaji masalah yang dihadapi oleh golongan wanita apabila menceburkan diri dalam pertanian. Kajian ini dilakukan di Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Pengumpulan data dilakukan melalui teknik pemerhatian, soal selidik dan teknik temuramah. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat beberapa faktor penyebab wanita terlibat dalam pertanian, antara penyebab utama ialah membantu meningkatkan ekonomi keluarga, sumber pendapatan sampingan dan bertujuan untuk mengisi masa lapang. Gaji yang diperolehi digunakan untuk membeli barang keperluan dapur dan juga untuk memenuhi kesempurnaan hidup seorang wanita seperti membeli pakaian, barangan kecantikan dan sebagainya. Hasil kajian mendapati bahawa masalah yang dihadapi oleh kaum wanita apabila terlibat dalam pertanian adalah keterbatasan tenaga dalam mengangkat barang yang berat seperti baja dan menyebabkan tahap kesihatan mereka terjejas dan akhirnya menyebabkan mereka tidak mampu melaksanakan kerja-kerja rumah dengan sempurna. Tugas hakiki di rumah terpaksa dibantu oleh ahli keluarga lain seperti suami dan juga anak-anak. Mereka hanya mampu untuk melakukan kerja-kerja asas seperti memasak manakala kerja rumah lain seperti membasuh, mengemas rumah akan dibantu oleh ahli keluarga. Hasil kajian mendapati bahawa, golongan wanita yang berkerja di sektor pertanian dapat membantu dalam meningkatkan ekonomi keluarga, namun kesesuaian bidang kerja kadang-kala tidak setimpal dengan kudrat wanita. Implikasi lain ialah penggunaan tenaga buruh wanita dalam sektor ini dapat mengurangkan penggunaan tenaga buruh luar. Katakunci: buruh, wanita, pertanian, tenaga kerja, Pulai Chondong. 1.0

PENGENALAN

Wanita adalah makhluk Allah SWT yang istimewa, mempunyai sifat yang unik berbanding lelaki. Namun wanita mempunyai peranan yang amat besar di dalam keluarga, masyarakat dan negara. Tanpa wanita, kehidupan seharian tidak dapat dilaksanakan seperti sedia kala. Hal ini kerana, wanita merupakan penyambung generasi yang akan datang dan wanita juga memainkan peranan yang berbeza dengan kaum adam. Definisi wanita dapat ditakrifkan dalam pelbagai maksud dan membawa pelbagai makna yang berbeza. Wanita dari segi biologi merupakan perbezaan hakiki dengan kaum lelaki. Hal ini dapat dijelaskan dalam teori, dimana perbezaan

antara wanita dan lelaki menjurus kepada sifat jasmani dan rohani. Menurut Kamarovsky (1946) pula, beliau melihat dalam dua penilaian yang bertentangan mengenai wanita. Dari satu sudut, wanita sebahagian daripada anggota dalam satu kategori jantina, berdasarkan peranannya yang dikatakan tradisional, iaitu sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Konsep peranan pula membawa maksud yang pelbagai. Peranan adalah berbeza antara wanita dan lelaki. Seperti yang diketahui, wanita merupakan seorang yang istimewa dan peranan yang dimainkan wanita juga adalah besar. Apabila seseorang individu melakukan satu tugas atau tanggungjawab, maka itu dinamakan sebagai peranan. Seterusnya adalah peranan wanita, peranan wanita ini dapat dilihatkan dalam beberapa aspek. Peranan utama yang dimainkan adalah sebagai seorang ibu dan bertanggungjawab dalam menguruskan keluarga. Walau bagaimanapun, manusia seringkali menjadi penentu kepada peranan seseorang itu berdasarkan faktor jantina. Sebahagian masyarakat berpendapat bahawa peranan wanita hanya terhad kepada lingkungan rumahtangga manakala lelaki pula akan melakukan pekerjaan di luar kawasan rumah untuk menyara ahli keluarga. Perbezaan ini wujud disebabkan perbezaan sifat fizikal antara lelaki dan perempuan. Perempuan lemah berbanding lelaki dan peranan perempuan hanya ditumpukan untuk melahirkan anak. Konsep peranan juga boleh dikaitkan dengan status atau kedudukan. Ini disebabkan individu yang telah memberikan peranan tertentu kepada kaum wanita. Walau bagaimanapun, kedudukan yang tertentu dari segi susun lapis sosial ditunjukkan apabila semakin penting peranan dimainkan oleh seseorang itu kepada masyarakat maka semakin tinggi status dan kedudukannya. Namun, peranan tradisional wanita masih lagi diharapkan oleh masyarakat kerana wanita tidak dapat lari daripada peranan rumahtangga. Kini peranan wanita tidak hanya tertumpu kepada anak-anak, suami, rumahtangga tetapi turut sama dalam melaksanakan tanggungjawab yang melibatkan sesuatu bidang pekerjaan. Perubahan yang dialami oleh kaum wanita tidak pula mengurangkan atau mengubah peranan serta tanggungjawab mereka dalam bidang domestik. Apabila berkahwin mereka dijangkakan dapat mengendalikan urusan rumahtangga dan menjaga anak. Menurut Fatimah Abdullah (1985), peranan wanita di dalam bidang domestik dan awam ini lazimnya ”demanding” iaitu memerlukan tenaga, masa dan perhatian. Ini kerana wanita yang bergiat di dalam kedua-dua bidang ini mengalami konflik peranan yang memandang kepada status. Peranan wanita di dalam ruang domestik dan awam dihalakan untuk mencapai matlamat yang berbeza-beza. 2.0

OBJEKTIF DAN SKOP KAJIAN

Tujuan kajian ini dilakukan adalah untuk mengkaji faktor penglibatan wanita di dalam pertanian dan mengkaji masalah yang dihadapi oleh wanita apabila terlibat di dalam pertanian. Kajian dilakukan di kawasan Pulai Chondong dan mengkaji kegiatan pertanian yang dilakukan oleh wanita di ladang tembikai tanpa biji kepunyaan Encik Manaf Ariffin. Skop kajian ini adalah di kawasan Kampung Pulai Chondong, Machang, Kelantan. Daerah Pulai Chondong ini terletak di utara Jajahan Machang dan bersempadan dengan Kok Lanas bagi Jajahan Kota Bharu. Keluasan Daerah Pulai Chondong ialah 54.98 km persegi iaitu 10 % daripada keluasan Jajahan Machang. 3.0

METODOLOGI DAN KAWASAN KAJIAN

Metodologi kajian ialah bagaimana kaedah-kaedah kajian yang dijalankan. Metodologi kajian adalah perkara yang penting bagi mengumpul data atau maklumat yang jitu dan tepat. Terdapat pelbagai kaedah yang digunakan pengkaji dalam melaksanakan penyelidikan. Metodologi kajian

terbahagi kepada dua data utama iaitu data primer dan data sekunder. Data sekunder ialah data yang diperolehi maklumat seperti bahan cetak dan sumber bacaan dari perpustakaan. Data sekunder juga boleh diperolehi dari agensi-agensi berkaitan seperti Jabatan Pertanian. Data sekunder yang diperolehi juga mampu untuk menjelaskan beberapa persoalan yang timbul serta membantu pengkaji dalam membuat kajian ini. Data primer pula ialah data yang dikutip sendiri dan amat penting bagi kajian ini kerana mempengaruhi hasil penyelidikan. Data digunakan untuk membuat analisis, rumusan dan cadangan bagi penyelidikan. Data ini dikumpulkan melalui kaedah empirikal seperti persampelan, pemerhatian, soalan soal selidik dan teknik temuramah. Kajian yang dilakukan ini melibatkan 100 orang responden. Kawasan kajian yang dipilih ialah kawasan Pulai Chondong yang berada di jajahan Machang. Sejarah kewujudan kawasan Pulai Chondong adalah sempena dengan nama Tok Pulai Chondong. Nama sebenarnya ialah Haji Abdus Shamad bin Haji Abdullah bin Haji Hasyim, Pulai Chondong al-Kalantani dan telah disingkatkan kepada Tok Pulai Chondong. Beliau dilahirkan semasa era pemerintahan Long Yunus pada tahun 1762-1794 iaitu pada tahun 1207 H/1792 M. Daerah Pulai Chondong merupakan kawasan yang bersempadan dengan Kok Lanas dalam Jajahan Kota Bharu. Ia berada di tengah-tengah yang menghubungkan Gua Musang dan Kota Bharu. Selain itu, dari arah selatan Pulai Chondong pula, daerah ini bersempadan dengan Daerah Labok, manakala dari arah barat bersempadan dengan Jajahan Tanah Merah. Walau bagaimanapun, Jajahan Tanah Merah dan Pulai Chondong ini dipisahkan dengan Sungai Kelantan yang merupakan sungai utama di Negeri Kelantan. Kawasan takungan Sungai Kelantan adalah seluas 11900 km². Air Sungai Kelantan ini mengalir ke arah Laut China Selatan. Taburan hujan di kawasan ini adalah di antara 0 mm semasa musim kemarau iaitu pada bulan Mac-Mei sehingga 1750 mm semasa musim tengkujuh pada bulan November-Januari. Purata hakisan dari sungai Kelantan adalah 500 m³/s. Kemudian, dari arah timur pula, Daerah Pulai Chondong bersempadan dengan Hutan Simpan Chabang Tongkat, Ulu Sat (Pusat Jalur Lebar Komoditi Pulai Chondong). Kebanyakan penduduk kawasan Pulai Chondong melibatkan diri dalam bidang pertanian. Hal ini kerana, di kawasan Pulai Chondong, terdapat banyak kawasan pertanian seperti padi, getah dan kelapa sawit. Contohnya di Mukim Kerawang, terdapat 40% penduduk menceburkan diri dalam pertanian dan 15% bekerja sebagai kakitangan kerajaan, kakitangan swasta sebanyak 25%, menjalankan perniagaan sebanyak 10%, menganggur sebanyak 5% dan lain-lain sebanyak 5%. Daerah ini mempunyai jumlah penduduk keseluruhannya adalah 17862 orang dengan keluasan keseluruhan ialah 54.98 km. Walau bagaimanapun, jumlah keseluruhan ini akan dibahagikan kepada beberapa mukim dalam kawasan Pulai Chondong. Antaranya ialah Mukim Gading Galoh seramai 4270 orang, Mukim Alor Melaka seramai 2596 orang, Mukim Pauh Lima seramai 4550 orang, Mukim Laha seramai 389 orang, Mukim Mulong seramai 1635 orang, Mukim Bagan seramai 1044 orang, Mukim Kerawang seramai 1516 orang dan Mukim Bandar seramai 1862 orang. Kawasan kajian ini juga akan mempunyai mukim penghulu, mukim tanah dan mukim imam. Setiap ketua mukim ini mempunyai peranan mereka sendiri contohnya mukim imam, yang berperanan menguruskan hal masjid, zakat dan perkara berkaitan agama di mukim yang di tadbir. Sistem ekonominya juga berasaskan mukim-mukim yang telah dibahagikan mengikut Pejabat Tanah dan Jajahan Machang. Kawasan-kawasan tanah pertanian akan dibahagikan mengikut mukim-mukim yang telah di tentukan. Ekonomi penduduk Pulai Chondong kebanyakannya bergantung kepada sektor pertanian.

Kawasan Pulai Chondong mempunyai kawasan tanah berbukit dan mendatar. Oleh itu, kawasan Pulai Chondong mempunyai kawasan tanah padi yang luas di tanah mendatar dan ladang-ladang getah serta ladang kelapa sawit di kawasan bukit beralun. Walau bagaimanapun, kawasan Pulai Chondong mempunyai beberapa mukim dan mukim-mukim ini memisahkan tanah-tanah sawah dan ladang pertanian penduduk Pulai Chondong. Antara kawasan tanah padi yang dibahagikan ialah tanah padi Padang Mengkuang, Padang Becah Penjahit, Padang Belukat, Padang Pulai Chondong, Padang Lahar, Padang Galang, Padang Bukit Jong dan Padang Merbau Chondong. Ladang getah dan ladang kelapa sawit juga dibahagikan mengikut mukim. Antaranya ladang kelapa sawit di Ladang Bagan, ladang getah di Ladang Padang Resak dan Ladang Bukit China. Ladang Bukit China ini merupakan ladang yang berada di dalam kawasan Kok Lanas Jajahan Kota Bharu. Kemudian di kawasan Pulai Chondong juga terdapat Bukit Buluh, Bukit Ko Bah, Bukit Jelutong dan Bukit Sabut. Ketinggian Bukit Buluh ialah 263 meter dan Bukit Sabut pula mempunyai ketinggian 150 meter. Walaupun bukit-bukit ini mempunyai ketinggian tertentu dan merupakan kawasan yang jauh dari petempatan manusia, namun kawasan bukit ini ditanam dengan pokok getah dan tidak terbiar sehingga ditumbuhi hutan belukar. Contohnya, kawasan Bukit Buluh, ia terletak dalam Mukim Pulai Chondong. Kawasan bukit ini ditanam dengan tanaman getah, dan di kawasan ini juga terdapatnya kuari iaitu kawasan pemecahan batu-batu bukit. Acara memecah batu ini menggunakan kaedah letupan. Letupan pada masa dahulu diadakan pada hari Jumaat sebelum Solat Jumaat. Bunyi letupan tersebut dapat didengari dikawasan sekitarnya. Oleh itu, sebahagian dari kawasan bukit itu telah mengalami penyahutanan akibat letupan batu yang dilakukan. Guna tanah ialah penggunaan yang dilakukan ke atas tanah tersebut. Berdasarkan peta topologi kawasan Pulai Chondong, di dapati bahawa banyak tanah digunakan untuk pertanian dan petempatan. Dari segi pertanian, kebanyakan adalah dari sektor pertanian padi, kelapa sawit, pelbagai tanaman pokok bakau dan getah. Walaupun berada di kawasan bukit seperti Bukit Buluh, namun masih terdapat tanaman dan bukan hutan belantara. Tanaman di Bukit Buluh ialah tanaman getah. Hal ini kerana pokok getah boleh di tanam di kawasan tanah tinggi. Dari segi petempatan pula, rumah berada dalam keadaan berselerak. Kebanyakan rumah berpusat di pekan Pulai Chondong. Oleh itu, di Mukim Gading Galoh, terdapat banyak rumah-rumah kerana ia berhampiran dengan Pekan Pulai Chondong. Selain itu, di Pekan Pulai Chondong iaitu bersempadan dengan Mukim Gading Galoh terdapat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pulai Chondong. Kebanyakan petempatan di kawasan Pulai Chondong tidak mempunyai bangunan yang tinggi dan empat tingkat sahaja. Selain itu, di kawasan Pulai Chondong juga terdapat lebuh raya tunggal dan lorong berkereta motor. Lebuh raya tunggal ini adalah jalan utama yang menghubungkan daerah Machang ke bandar Kota Bharu. Lorong berkereta motor pula dibina untuk menghubungkan dari satu mukim ke satu mukim yang lain. Namun, masih ada jalan yang tidak berturap. Kebanyakan jalan-jalan yang tidak berturap adalah jalan yang akan menuju ke kawasan sawah padi atau kebun-kebun penduduk kampung. Pekan Pulai Chondong masih di tahap perkembangan sederhana berbanding dengan bandar Kota Bharu. Walaupun telah berada pada era pembangunan sekarang ini, namun pembangunan tetap dihadkan. Ini adalah untuk tidak merosakkan alam sekitar yang ada. Seterusnya guna tanah di kawasan Pulai Chondong juga digunakan untuk pembinaan sekolah, balai polis, balai raya, lot-lot kedai, kilang kayu, klinik kerajaan atau swasta dan pejabat pos. Guna tanah ini adalah untuk memudahkan masyarakat di sekitar Pulai Chondong. Walaupun berada di mukim berbeza, namun untuk memperoleh

kemudahan seperti klinik kerajaan atau swasta dan sebagainya, maka mereka akan keluar ke pekan Pulai Chondong. Kawasan Pulai Chondong juga mempunyai sistem saliran yang terdiri daripada anak-anak sungai. Sungai-sungai yang mengalir di dalam kawasan Pulai Chondong ini berpunca dari bukit berhampiran dan mengalir turun ke sungai Kelantan. Hal ini kerana, keluasan Pulai Chondong secara keseluruhan adalah 54.98 km persegi dan terletak bersebelahan Sungai Kelantan yang merupakan sungai utama di negeri Kelantan. Sungai-sungai ini menghubungkan beberapa buah kampung di kawasan Pulai Chondong. Walaupun sungai di kawasan Pulai Chondong hanya terdiri daripada sungai-sungai yang kecil namun sungai-sungai ini menyumbangkan air untuk pengairan kawasan pertanian terutamanya tanaman padi yang diusahakan oleh penduduk kampung tersebut. Iklim kawasan Pulai Chondong ialah iklim khatulistiwa iaitu iklim tropika yang tidak mengalami musim kering. Kesemua 12 bulan dalam setahun mencatat nilai kerpasan min sekurang-kurangnya 60 mm (2.36 inci). Kebiasaanya pada bulan Mac hingga Mei, negeri Kelantan akan mengalami musim kemarau. Pada musim ini, kebanyakan petani akan banyak menghabiskan masa di kebun-kebun tanaman mereka. Tanaman akan disiram setiap hari pada musim kemarau. Air akan diperolehi dari sungai-sungai yang mengalir berhampiran kebun atau ladang mereka. Pada musim tengkujuh pula, iaitu pada bulan November hingga Januari, negeri Kelantan akan mengalami banjir. Banjir ini berpunca dari air hujan yang turun dan bertakung di dalam sawah padi dan akan bertembung dengan air Sungai Kelantan menyebabkan banjir yang teruk. Oleh itu, pada musim ini, iklim yang dialami akan sejuk disebabkan oleh kelembapan udara. Kebanyakan petani pada masa ini akan melakukan pekerjaan lain. Hal ini kerana, ada masa ini, kawasan tanaman mengalami lebihan air (air bertakung) dan jika diteruskan dengan tanaman-tanaman yang berskala besar boleh menyebabkan kerosakan dan kerugian. Penduduk di kawasan Pulai Chondong kebanyakkannya adalah petani. Penduduk di kawasan Pulai Chondong terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu penduduk berbangsa Cina, Melayu dan India. Walaupun jumlah kaum Cina dan India tidak seramai kaum Melayu, namun kemudahan untuk kaum Cina dan India turut disediakan. Jumlah keseluruhan masyarakat berbangsa Cina ialah 337 orang dan terdapat 2 keluarga daripada kaum India. Ia mewakili 2% dari keseluruhan penduduk Pulai Chondong iaitu seramai 17862 orang. Penduduk yang berbangsa Cina ini tinggal di Mukim Gading Galoh, Mukim Bagan dan Mukim Bandar dan menjalankan aktiviti yang hampir sama dengan aktiviti yang dijalankan oleh penduduk kampung yang lain. Terdapat sebahagian yang menjalankan aktiviti pertanian contohnya kaum Cina di Mukim Bagan dan Mukim Bandar. Namun, majoriti penduduk berbangsa Cina di Mukim Gading Galoh menjalankan aktiviti perniagaan. Mereka membuka kedai runcit, kedai emas dan kedai membaiki motosikal. Pergaulan antara masyarakat Cina dan Melayu adalah aman dan harmoni. Begitu juga dengan keluarga India, di mana sebahagian daripada mereka terlibat dalam pertanian dan perniagaan. Walaupun berlainan agama namun perhubungan yang wujud tetap harmoni dan mereka menghormati adab budaya kaum Melayu. Daripada segi pakaian dan juga makanan, kaum Cina dan kaum India berpakaian hampir sama dengan kaum Melayu. Jenis hidangan yang dinikmati juga sukar dibezakan. Ini kerana mereka telah lama hidup bersama masyarakat Melayu Pulai Chondong. Kegiatan ekonomi utama penduduk di Pulai Chondong ialah pertanian. Antara tanaman yang diusahakan ialah sayur-sayuran, buah-buahan, padi dan banyak lagi. Namun, apabila tiba musim

tengkujuh maka para petani terpaksa menjalankan aktiviti lain untuk menyara kehidupan. Petani di sini biasanya akan memasarkan hasil tanaman mereka di pekan Pulai Chondong dan ke merata tempat di Kelantan. Di Pekan Pulai Chondong, terdapat pasar yang menjadi tempat jual-beli segala keperluan dapur. Selain itu, di kawasan Pekan Pulai Chondong juga diadakan Pekan Sehari iaitu pada setiap hari Isnin dan Khamis. Pada masa ini semakin ramai penduduk yang membawa hasil tanaman mereka untuk dijual. Namun, hasil pemerhatian yang dilakukan mendapati kebanyakan penjual di pasar pagi tersebut adalah warga emas. Dari sudut ekonomi yang lain pula, terdapat sebahagian penduduk yang bekerja dalam sektor swasta dan kerajaan. Kebiasaannya, mereka yang bekerja di dalam sektor swasta atau kerajaan akan bekerja di luar kawasan Pulai Chondong. Hal ini kerana, di kawasan Pulai Chondong tidak terdapatnya pejabatpejabat besar.

4.0

HASIL DAN PERBINCANGAN

4.1

Latar Belakang Responden

Latar belakang responden adalah berkaitan maklumat diri responden yang diambil. Analisis ini diperolehi selepas menggunakan program SPSS. Keputusan berdasarkan soalan soal selidik yang telah dijawab oleh responden yang diambil secara rawak dari kalangan wanita yang bertani. Analisis tentang status responden mendapati bahawa terdapat 25 orang yang berstatus bujang telah terlibat secara langsung di dalam pertanian. Hasil pemerhatian menunjukkan golongan bujang terlibat dalam pertanian adalah untuk mengisi masa lapang mereka. Kebanyakan golongan bujang ini terdiri daripada pelajar yang sedang menunggu keputusan peperiksaan dan juga penganggur lepasan universiti dan politeknik. Golongan yang berstatus kahwin adalah golongan terbesar yang terlibat dalam pertanian iaitu sebanyak 66 orang. Soal selidik mendapati kebanyakan golongan wanita berkahwin yang terlibat dalam pertanian adalah untuk membantu suami mereka menambah pendapatan keluarga. Selain itu, mereka juga menyatakan bahawa mereka tidak mahu masa terluang di rumah di sia-siakan begitu sahaja. Oleh itu, terdapat dua faktor utama golongan berkahwin terlibat di dalam pertanian iaitu untuk mengisi masa lapang mereka dan untuk menambah pendapatan keluarga. Status lain-lain mewakili golongan wanita yang kematian suami atau wanita yang ditinggalkan suami. Jumlah mereka yang terlibat adalah seramai 9 orang. Faktor mereka terlibat dalam pertanian adalah 100 % untuk menyara kehidupan mereka dan keluarga mereka. Jumlah anak juga memainkan peranan penting di dalam faktor dan sumbangan wanita yang terlibat dalam bidang pertanian. Hal ini kerana, faktor dan sumbangan wanita terlibat dalam pertanian adalah disebabkan untuk memenuhi kehendak material anak-anak dan keluarga. Semakin ramai anak maka tanggungan yang ditanggung adalah besar. Oleh itu, mereka perlu terlibat dalam pertanian untuk menambah pendapatan keluarga. Namun, bagi wanita bujang dan wanita yang berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, mereka bekerja adalah untuk memenuhi kehendak diri sendiri dan juga untuk mengisi masa lapang. Masa lapang yang ada perlu dimanfaatkan sebaik mungkin agar tidak membazir begitu sahaja. Menurut responden yang ditemubual, beliau menyatakan bahawa pekerjaan sebagai petani adalah memenatkan tetapi merasa puas hati apabila dapat melihat hasil yang dikeluarkan baik dan banyak. Oleh itu, beliau telah mengambil keputusan untuk terlibat secara serius di dalam pertanian. 41 orang respoden

mempunyai anak seramai 6-10 orang manakala seramai 9 orang responden memiliki anak melebihi 10 orang. Selain itu, 29 orang responden mempunyai kurang daripada 5 orang anak dan 21 orang responden tidak mepunyai anak. Daripada 21 orang yang tidak mempunyai anak, hanya satu keluarga sahaja yang berkahwin tetapi tidak dikurniakan anak manakala 20 orang adalah wanita bujang yang terlibat dalam pertanian untuk mengisi masa lapang dan untuk menampung kehidupan mereka. Oleh itu, dari pemerhatian dan juga analisis yang dilakukan, membuktikan bahawa faktor dan penyebab wanita terlibat dalam pertanian adalah salah satunya disebabkan oleh jumlah anak.

Rajah 1 : Jumlah anak responden 4.2

Faktor, Masalah dan Sumbangan Responden

Hasil kajian mendapati bahawa 69 orang responden menyatakan faktor mereka terlibat dalam pertanian adalah untuk menambahkan pendapatan keluarga manakala 31 orang adalah sebaliknya. Maka, dapat disimpulkan bahawa wanita bekerja adalah untuk menambahkan pendapatan keluarga. Di kampung, golongan wanita masih mampu melakukan kerja agar dapat membahagiakan keluarga mereka. Begitu juga jika dibandingkan taraf pendidikan yang diperolehi oleh mereka. Tidak semua wanita yang mempunyai kelulusan yang rendah hanya perlu duduk di rumah di bahagian dapur sahaja. Mereka juga mampu bekerja walaupun bidang kerja mereka adalah berbeza-beza. Selain itu, melalui kajian pemerhatian dan temuramah yang dijalankan, kebanyakan mereka menyatakan perkara yang sama iaitu bekerja untuk menambahkan pendapatan keluarga. Walaupun ada beberapa orang responden yang mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun tidak mencukupi untuk mereka menyara kehidupan mereka. Seorang responden yang berusia dalam lingkungan 50an menyatakan bahawa kerja-kerja yang mereka lakukan ini bukan untuk kesenangan diri mereka, tetapi mereka bekerja adalah untuk keluarga dan kebahagiaan keluarga mereka. Bagi mereka, diri mereka tidak penting, keluarga adalah aset yang paling penting dan berharga buat mereka. Hasil kajian yang dilakukan melalui soalan soal selidik mendapati bahawa 76 orang responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang masalah apabila terlibat dalam pertanian manakala 24 orang responden pula menyatakan sebaliknya. Walau bagaimanapun, hasil pemerhatian sepanjang aktiviti pertanian dijalankan mendapati terdapat banyak masalah yang dihadapi oleh responden. Mungkin bagi responden, masalah yang kecil adalah perkara biasa bagi

mereka menyebabkan dalam soalan soal selidik mereka menyatakan mereka tidak mempunyai masalah. Contohnya pemerhatian yang dijalankan pada 16 Februari 2011. Pada masa ini tanah ladang sedang ditabur baja. Pekerjaan ini sebenarnya memerlukan tenaga lelaki, namun keadaan yang berlaku adalah sebaliknya. Wanita terpaksa bekerja sendirian tanpa lelaki untuk mengangkat baja yang berat. Oleh itu, mereka mula merungut tidak dapat melakukan pekerjaan dengan pantas kerana terpaksa mengangkat baja yang berat sehingga menjejaskan kesihatan mereka. Selain itu, responden-responden yang sudah berusia juga seringkali mengeluh sakit-sakit badan dan apabila pulang ke rumah, mereka tidak dapat melakukan pekerjaan di rumah dengan baik. Namun, bagi mereka, itu bukan masalah tetapi perkara biasa bagi mereka. Oleh sebab itu, apabila ditemuramah dan diedarkan soalan soal selidik maka mereka menyatakan bahawa mereka tiada masalah sedangkan semasa pemerhatian dibuat, ia adalah sebaliknya. Bagi responden yang benar-benar mempunyai masalah, masalah yang dihadapi oleh mereka adalah masalah besar dan sukar untuk diselesaikan. Masalah tersebut akan mendatangkan kemudaratan pada diri mereka dan juga ahli keluarga mereka. Seterusnya ialah persoalan masalah yang dihadapi oleh responden untuk menguruskan keluarga apabila responden terlibat secara khusus dalam pertanian. Hasil yang diperolehi setelah soalan soal selidik diedarkan ialah 20 orang responden menyatakan mereka mempunyai masalah menguruskan keluarga manakala selebihnya iaitu 80 orang responden menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai masalah. Responden menyatakan bahawa mereka mempunyai seorang pengurus ladang yang baik dan prihatin dengan tugasan yang perlu dilaksanakan oleh responden wanita. Oleh itu, pengurus ladang tersebut telah menetapkan waktu bekerja yang sesuai untuk pekerja wanita. Jadual 1 : Waktu bekerja di ladang Waktu 8.00 – 10.59 11.00 – 11.14 11.15 – 11.59 12.00 – 14.59 15.00 – 18.00

Perkara Masuk bekerja Rehat Bekerja Rehat dan pulang ke rumah Pulang bekerja

Oleh sebab itu, responden wanita di ladang tersebut tidak mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga. Waktu tengahari mereka akan dihabiskan di rumah untuk memasak dan menyambut kepulangan anak-anak pulang dari sekolah. Walau bagaimanapun, masalah kecil seperti penat dan tidak mampu menyempurnakan keseluruhan kerja rumah dalam masa sehari adalah perkara biasa bagi mereka. Semasa hari bekerja iaitu hari Ahad hingga Khamis, responden hanya mampu menyediakan keperluan asas anak-anak dan suami namun pada hari minggu iaitu hari Jumaat dan Sabtu, mereka akan melakukan pekerjaan rumah yang lain seperti mengemas rumah, membasuh pakaian, membantu anak-anak dalam pelajaran dan sebagainya. Responden yang menyatakan mereka mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga ini pula ialah responden yang melakukan dua pekerjaan dalam masa satu hari. Contohnya berniaga dan berkebun. Akibatnya mereka mempunyai masalah dalam uruskan keluarga seperti tidak sempat untuk memasak, memberi perhatian pada keluarga dan beberapa lagi pekerjaan asas yang wajib dilakukan oleh seseorang wanita. Kebanyakan yang mempunyai masalah seperti ini adalah dari

kalangan ibu tunggal iaitu mereka seorang sahaja yang mencari rezeki untuk menyara keluarga tanpa ada bantuan dari seseorang yang bernama lelaki. Oleh sebab itu, mereka gigih bekerja untuk mencari rezeki yang halal untuk anak-anak mereka. Walau bagaimanapun, tidak semua yang mempunyai masalah dari kalangan ibu tunggal. Kadang kala situasi hidup yang terlalu terhimpit telah memaksa mereka bekerja lebih dari orang lain.

Rajah 2: Masalah menguruskan keluarga apabila terlibat di dalam pertanian Analisis soal selidik yang mendapati bahawa 80 orang responden berpendapat golongan wanita sedang mendominasikan sektor pertanian sekarang ini. Hanya 20 orang menyatakan bahawa bukan wanita sedang mendominasi sektor pertanian. Hal ini kerana, wanita pada masa sekarang mempunyai nilai kesedaran untuk membantu suami. Selain itu, wanita mendominasikan pertanian adalah kerana wanita adalah seorang yang sabar dan tabah dalam melakukan pekerjaan mereka. Di samping itu, mereka mampu untuk menguruskan keluarga kerana tidak terlalu terikat dengan peraturan pejabat. Kajian mengenai wanita ramai terlibat dalam pertanian dapat dinyatakan dengan khusus apabila kajian dari Jamilah @ Amelia Binti Yahya tentang ”Penyertaan wanita dalam sektor pertanian : satu kajian kes di Kelantan” telah menyatakan bahawa ramai wanita terlibat dalam pertanian.

Rajah 3 : Ramai wanita terlibat dalam pertanian

4.3

Faktor penglibatan dalam sektor pertanian

Jadual di bawah menerangkan tentang perhubungan yang wujud antara kerja pasangan dan faktor utama wanita terlibat dalam pertanian. Ia menunjukkan bahawa terdapat 28 orang suami yang bekerja bersama pasangannya di dalam pertanian dan ia merupakan faktor utama mendorong wanita tersebut terlibat dalam pertanian. Ia bertujuan meningkatkan lagi ekonomi keluarga mereka apabila kedua-dua pasangan terlibat dalam pertanian. Selain itu, apabila isteri bekerja bersama suami maka isteri dapat menjaga makan dan minum suami ketika berada di ladang. Tetapi terdapat 12 orang wanita yang terlibat dalam pertanian walaupun suami tidak terlibat dalam pertanian disebabkan faktor ingin membantu suami meringankan beban kewangan keluarga dan terdapat juga sekadar untuk mengisi masa lapang mereka. Seterusnya, terdapat 41 orang responden di mana suami tidak terlibat dalam pertanian. Mereka terlibat di dalam pertanian bertujuan untuk mengisi kekosongan waktu mereka dan menghilangkan kebosanan. Hal ini dapat dibuktikan apabila H0 ditolak kerana tidak terdapat hubungan antara kerja pasangan dan faktor utama wanita terlibat dalam pertanian manakala Hı diterima kerana terdapat perhubungan antara kerja pasangan dan faktor wanita terlibat dalam pertanian. Jadual 2 : Kerja pasangan dan faktor utama wanita terlibat dalam pertanian Faktor utama wanita terlibat dalam pertanian Memperbaiki ekonomi keluarga Suami pekerja pertanian 28 Suami tidak terlibat dalam 41 pertanian Jumlah 69

4.4

Faktor lain 12 19

Jumlah 40 60

31

100

Hubungan antara jumlah anak dan masalah wanita dalam menguruskan keluarga

Jadual 3 menerangkan bahawa seseorang wanita yang tidak mempunyai anak tidak mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga mereka. Ini menunjukkan 21 orang tidak mempunyai masalah dan kebanyakannya adalah wanita yang belum berkahwin. Bagi wanita yang mempunyai jumlah anak kurang dari 5 orang, 6 orang daripada mereka menyatakan mereka mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga manakala 23 orang responden pula berpendapat sebaliknya. Bagi golongan yang mempunyai anak seramai 6 hingga 10 orang pula, terdapat 14 orang yang mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga dan 27 orang tidak mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga. Tetapi, bagi keluarga yang mempunyai anak lebih dari 11 orang pula, kesemua mereka menyatakan tidak menghadapi masalah dalam menguruskan keluarga. Hal ini menunjukkan lebih ramai yang tidak mempunyai masalah daripada mempunyai masalah. Hasil temuramah dan pemerhatian yang dijalankan mendapati bahawa majoriti tidak mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga. Hal ini kerana, majikan mereka membenarkan mereka menguruskan keluarga sebelum memulakan pekerjaan dan pada waktu tengahari. Majikan mereka juga telah menetapkan jadual yang khusus buat pekerja wanita. Jumlah yang mempunyai masalah dalam menguruskan keluarga adalah sedikit

iaitu mereka yang melakukan dua kerja dalam satu masa. Oleh sebab itu, perhubungan yang diwujudkan menyatakan bahawa H0 diterima kerana tidak terdapat hubungan antara jumlah anak dan masalah menguruskan keluarga dan Hı ditolak kerana terdapat perhubungan antara jumlah anak dan masalah menguruskan keluarga. Jadual 3 : Jumlah anak dan masalah menguruskan keluarga Masalah urus keluarga 0

Ya 0

Tidak 21

Jumlah 21

Kurang dari 5 orang

6

23

29

6 - 10 orang

14

27

41

11 – keatas Jumlah

0 20

9 80

9 100

Jumlah anak

4.5

Hubungan antara masalah di tempat kerja dan pertanian ramai diceburi oleh wanita

Hasil pemerhatian dan temuramah dilakukan menunjukkan bahawa kaum wanita yang terlibat di dalam pertanian sebenarnya mempunyai banyak masalah. Namun, masalah yang dihadapi oleh mereka adalah masalah kecil dan pada pandangan mereka masalah yang dihadapi bukan sebagai masalah tetapi perkara biasa yang dialami oleh mereka. Contohnya, kaum wanita yang terlibat dalam pertanian ini selalunya mempunyai masalah untuk mengangkat barang yang berat seperti baja, mempunyai masalah kesihatan kerana terpaksa mengangkat barang yang berat sehingga tidak mampu menyiapkan kerja rumah pada masa yang betul dan sebagainya. Namun, mereka hanya menggaggap masalah itu sebagai perkara biasa untuk mereka. Hasil soalan soal selidik yang diedarkan mendapati majoriti berpendapat bahawa wanita lebih ramai menceburkan diri dalam pertanian berbanding lelaki. Perkara ini telah diakui oleh pegawai dari Pertubuhan Peladang kawasan Pulai Chondong. Ia dapat diterangkan apabila H0 diterima kerana tidak terdapat hubungan antara pekerjaan lain yang dilakukan dan sumber pendapatan lain yang diperolehi selain pertanian manakala Hı ditolak kerana terdapat hubungan antara pekerjaan lain yang dilakukan dan sumber pendapatan lain yang diperolehi selain pertanian. Jadual 4 : Masalah di tempat kerja dan pertanian ramai diceburi oleh wanita Pertanian ramai diceburi oleh wanita

Masalah di tempat kerja

Ya (mempunyai masalah) Tidak

Jumlah

Ya (ramai diceburi oleh wanita) 24

Tidak 0

Jumlah 24

56 80

20 20

76 100

5.0

KESIMPULAN

Golongan wanita mewakili hampir separuh penduduk Malaysia. Sumbangan mereka sama ada sebagai isteri, ibu serta pekerja yang mempunyai gaji, di dalam pembangunan bangsa dan negara adalah amat penting. Wanita bukan sahaja memainkan peranan utama di dalam pembentukan generasi akan datang malah mereka juga penting di dalam sektor luar bandar terutamanya pertanian. Guna tenaga wanita juga telah bertambah di dalam semua sektor di Malaysia. Wanita sudah berupaya meletakkan diri di barisan hadapan sebagai peneraju dalam pelbagai bidang kepakaran. Sektor pertanian pula merupakan sektor yang memainkan peranan besar pada awal tahun 1920-an menerusi industri getah yang mengangkat nama Malaysia sebagai pengeluar getah asli utama dunia sehingga tahun 1980-an. Transformasi sektor pertanian ke arah yang lebih dinamik dan berdaya saing dalam RMK-9 bertujuan untuk meningkatkan sumbangan sektor pertanian kepada ekonomi para petani dan negara. Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengurangkan pergantungan terhadap barangan import bahan makanan dalam jangka masa panjang yang mana pada masa ini imbangan import bahan makanan masih lagi melebihi kemampuan mengeksport. Oleh sebab kepercayaan yang telah diberikan dalam sektor pertanian ini maka tidak mustahil lebih ramai masyarakat yang terlibat dalam pertanian. Hasil kajian yang dilakukan juga menyatakan bahawa pada masa sekarang, golongan wanita semakin ramai menceburkan diri dalam pertanian. Walau bagaimanapun, kebanyakan wanita-wanita yang menceburkan diri dalam pertanian ini adalah mereka yang berada di kawasan luar bandar. Namun, dengan semangat dan bantuan daripada pihak tertentu, pada masa hadapan mereka mampu menjadi seorang yang berjaya seperti kaum lelaki.

6.0

RUJUKAN

AISHAH GHANI 1967. Peranan Wanita Luar Bandar di Malaysia. Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar di Kuala Lumpur. Universiti Malaya : Persekutuan Bahasa Melayu. AL-MUDARRIS, Hadi 1992. Tugas dan Tanggungjawab Wanita. Dinie Publishers. AZIZAH JALIL 1981. Peranan Wanita Luar Bandar di dalam Kegiatan Sosio Ekonomi:‘case study’ di Parit 5, Labu Kubang, Perak. Unpublished latihan ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Kuala Lumpur : Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya. DESNAWATI SOELAIMAN DJAMAAN 1981. Peranan Wanita Luar Bandar dalam Bidang Sosio Ekonomi : Satu Kajian Kes. Unpublished latihan ilmiah Ijazah Sarjana Muda. Kuala Lumpur : Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya. FATIMAH ABDULLAH 1983. Wanita Melayu dan Pekerjaan : Satu Analisis Konflik Peranan. Unpublished tesis sarjana. Bangi : Universiti Kebangsaan Malaysia. JAMILAH @ AMELIA YAHYA 2001. Penyertaan Wanita dalam Sektor Pertanian: Satu Kajian Kes di Kelantan. Unpublished tesis Sarjana Falsafah. Kuala Lumpur : Institut Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, Universiti Malaya. KHADIJAH MUHAMED 1969. Wanita Melayu dan Pekerjaan. Unpublished latihan ilmiah Ijazah Sarjan Muda. Kuala Lumpur : Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya. MAJLIS DAERAH MACHANG. http://www.mdmachang.gov.my

Dilayari

pada

06.01.2011

dari

laman

web

MASYITAH Mokhtar 1986. Wanita : Masalah dan Penyelesaian. Karya Media Publisher. MAZIDAH HJ. ZAKARIA 1982. Wanita dan Pembangunan Pertanian : Masalah dan Cabaran. Seminar Penyertaan dan Peranan Wanita dalam Pembangunan Negeri Kedah pada 17 – 19 Jun 1982 di Alor Star. Alor Setar : Persatuan Wanita Negeri Kedah : 37-47.